Tuesday, May 10, 2011

ignite sasar juara!!



MEMEGANG gelaran naib juara Grand Final Kejohanan Sorak Harian Metro tahun lalu, menguatkan lagi semangat Ignite untuk memburu gelaran juara musim ini.
Namun, sebelum meletakkan sebarang sasaran di Grand Final, pasukan sorak lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), Johor Bahru itu turut optimis mampu merebut gelaran di peringkat Zon Selatan, di Millennium Sports Centre, 7 hingga 8 Mei depan.

Guru pengiring, Suryani Sulaiman, berkata sememangnya kemenangan sebagai naib juara di Grand Final tahun lalu menjadi inspirasi buat Ignite melakar kemenangan pada kejohanan tahun ini.
“Di peringkat zon tahun lalu, kami gagal merebut gelaran juara cuma sekadar di tangga ketiga tapi berjaya dianugerahkan sebagai pasukan stunt terbaik.

“Susulan itu, ia menjadi pembakar semangat buat pasukan melakukan yang lebih baik di Grand Final, maka tidak mustahil buat kami mengulangi kejayaan musim ini dengan kemenangan yang lebih hebat, bukan saja di peringkat zon malah di Grand Final,” katanya, semalam.

Mengulas lanjut mengenai persediaan pasukan, Suryani berkata, anak buahnya sememangnya sudah melakukan persiapan sejak awal tahun.

“Kami sememangnya menantikan kejohanan anjuran akhbar nombor satu, Harian Metro ini, atas dasar itu pasukan ini sudah mula mencari rentak awal sejak Januari lagi.

“Dalam pada itu, kami juga aktif menerima jemputan daripada pelbagai pihak sekitar Johor Bahru yang menjadikan kami lebih daripada bersedia. “Cuma kami perlu menukar beberapa saja langkah lagi agar menjadikan gerakan bertambah menarik menjelang kejohanan,” katanya.